Dalam Akta ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain—
"barang pos" ertinya sesuatu surat, poskad, akhbar, buku, dokumen, risalah, paket contoh atau sampel, paket kecil, bungkusan, bungkusikat atau apa-apa barang atau benda lain yang boleh disalurkan melalui pos;
"bayaran pos" ertinya duti yang boleh dikenakan bagi penyaluran melalui pos akan barang-barang pos;
"karung mel" ertinya apa-apa karung, peti, bekas, bungkusan, sampul atau kontena yang di dalamnya barang-barang pos dalam masa penyaluran melalui pos adalah diangkut, sama ada atau tidak ia mengandungi apa-apa barang sedemikian;
"lesen" ertinya suatu lesen yang diberikan di bawah seksyen 10;
"pegawai diberikuasa" ertinya mana-mana pegawai yang diambil bekerja oleh Suruhanjaya dan diberi kuasa bagi maksud-maksud Akta ini oleh Suruhanjaya;
"pejabat pos" termasuklah tiap-tiap rumah, bangunan, bilik, vesel, pengangkut atau tempat di mana barang-barang pos diterima atau diserahkan atau di mana ia diisih, disusun atau dihantar dan tiaptiap peti surat pejabat pos yang diadakan bagi penerimaan barang-barang pos, atau di mana perkhidmatan kewangan pos di bawah seksyen 24 dijalankan;
"pemegang lesen" ertinya mana-mana orang yang dilesenkan di bawah seksyen 10;
"setem palsu" ertinya apa-apa facsimile atau tiruan atau rupaan, sama ada di atas kertas atau selainnya, akan apa-apa setem pos yang berupa sebagai melambangkan apa-apa kadar bayaran pos termasuk apa-apa setem yang berupa sebagai melambangkan sesuatu kadar bayaran pos mana-mana negara lain;
"setem pos" ertinya apa-apa label atau setem bagi melambangkan apa-apa kadar fee bayaran pos atau jumlah wang lain yang kena dibayar berkenaan dengan sesuatu barang pos, dan termasuklah setem pos pelekat dan setem yang dicetak, dicetak timbul, ditera atau selainnya ditunjukkan pada mana-mana sampul, pembalut, poskad atau barang lain, sama ada setem itu dikeluarkan di bawah Akta ini atau di bawah undang-undang mana-mana negara lain;
"surat" ertinya apa-apa bentuk perhubungan bertulis atau dokumen lain yang ditujukan kepada seseorang tertentu atau ke sesuatu alamat tertentu dan hendak diangkut selain daripada melalui cara elektronik; dan termasuklah sesuatu paket, bungkus-ikat, pembalut atau barang yang mengandungi apa-apa perhubungan sedemikian;
"Suruhanjaya" ertinya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 [Akta 589];
"tempat pertukaran dokumen" ertinya sesuatu tempat di mana dokumen-dokumen didepositkan untuk dipungut oleh penerima.